Thursday, July 22, 2010

Mufti yakin kursus ESQ seleweng - Panel Kajian Akidah JAKIM setuju program boleh jejas akidah umat Islam










Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, beliau yakin terdapat penyelewengan dalam Kursus ESQ Leadership Training (ESQ) berdasarkan kepada beberapa fakta, termasuk perakuan oleh Panel Kajian Akidah (PKA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa kursus itu mesti disekat dan diharamkan beroperasi di negara ini.


Katanya, Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM memulakan kajian pada 1 Ogos 2008 ekoran aduan orang ramai berhubung status kursus itu, dan hasil kajian dibentangkan lima kali dalam Mesyuarat PKA JAKIM bermula 27 Ogos hingga 10 Februari 2009, manakala JAKIM pada masa sama mengadakan pertemuan dengan pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian.
“PKA akhirnya memperakukan bahawa Kursus ESQ Leadership Training disekat dan diharamkan beroperasi di negara ini.

“Kertas kerja berkenaan Kursus ESQ dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-86 pada 21 hingga 23 April 2009, namun tiada keputusan muktamad dicapai.

“Selain itu, ada kajian daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memperakukan bahawa kursus ini tidak sesuai dan mengandungi penyelewengan akidah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, berasaskan kepada fakta-fakta itu, beliau beroleh kesimpulan yang meyakinkan mengenai penyelewengan dalam kursus itu dan sebagai Mufti Wilayah menjadi wajib baginya mengeluarkan fatwa bagi memberitahu masyarakat Islam.
Pada 17 Ogos 2009, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan ke-75 memutuskan pengharaman Kursus ESQ.

JAKIM menubuhkan Panel Pemantau ESQ yang dianggotai enam pensyarah universiti tempatan untuk membuat kajian lanjut, dan laporan penuh panel itu dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-90 pada 1 Mac, yang membuat perakuan sama dengan penemuan PKA bahawa kursus itu menyeleweng dan perlu di sekat daripada beroperasi di Malaysia.

“Jelas bahawa fatwa mengenai Kursus ESQ dibuat dengan teliti, mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan. Saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengetepikan keempat-empat kajian di atas dengan membuat keputusan yang berlainan daripada apa yang diperakukan,” katanya.

“Dalam keadaan ini, menjadi fardu ain bagi saya mengeluarkan fatwa mengikut pendapat yang saya yakin, dan haram mengikut pendapat orang lain walaupun ramai bilangan mereka. Selain itu, masa dua tahun yang diambil sebenarnya terlalu lama dan tidak selaras dengan dasar meningkatkan kecekapan sistem penyampaian di kalangan kakitangan kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata, fatwa yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai pengharaman itu berlandaskan hukum syarak iaitu apabila seseorang yang dilantik sebagai mufti wajib baginya berpegang dengan pendapat ijtihadnya dan haram baginya mengikut pendapat orang lain yang berbeza dengan ijtihadnya, dan berpandukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Kronologi Fatwa ESQ (link) [pdf]








Kronologi Fatwa Berkenaan Kursus ESQ LEADERSHIP TRAINING Anjuran ARY GINANJAR AGUSTIAN Oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


i) 1-3 Ogos 2008:

Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM telah menghantar beberapa orang pegawai untuk menghadiri kursus ESQ di Hotel Summit, Subang Jaya, Selangor. Ini adalah bagi menjalankan kajian dan siasatan terhadap kursus ini selepas menerima aduan daripada orang ramai yang bertanyakan tentang status kursus tersebut atas alasan wujud kesangsian dan keraguan dalam metodologi atau pendekatan yang dilakukan.

ii) 28 Ogos 2008:

Perbincangan tentang isu berkenaan ESQ telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) Kali Ke-38. Mesyuarat ini telah memutuskan perkara-perkara berikut:

a) Terdapat keraguan-keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah di dalam kursus tersebut; dan

b) Doktrin bahawa kebenaran boleh diperolehi melalui pengalaman/pencarian (termasuk oleh para nabi) perlu dijadikan asas kepada penyelewengan ESQ.

iii) 3-5 Oktober 2008:

Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) telah menghantar dua orang wakil untuk menyertai kursus tersebut bagi mengesah dan memantapkan lagi kajian yang dibuat sebelumnya.

iv) 14 Oktober 2008:

Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) berkenaan ESQ telah diadakan. Mesyuarat ini telah bersetuju dengan pembentangan oleh ahli PKA, Prof. Madya Dr. Mohd. Fauzi bin Hamat bahawa keraguan- keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah di dalam kursus ESQ adalah wujud sebagaimana yang telah dibentangkan oleh urusetia JAKIM pada mesyuarat PKA Kali Ke-38.

v) 27-28 Nov. 2008:

Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) Kali Ke-39 dan pertemuan ahli-ahli PKA dengan penganjur/moderator ESQ telah diadakan. Mesyuarat ini telah mengesyorkan supaya satu mesyuarat khas PKA diadakan sekali lagi bagi meneliti sedalam-dalamnya pemikiran dan falsafah yang terdapat di sebalik pengajaran kursus ESQ.

vi) 10 Februari 2009:

Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) berkenaan ESQ telah diadakan sekali lagi. Mesyuarat ini telah menyenaraikan penyelewengan-penyelewengan yang terdapat di dalam ESQ sebagaimana berikut:

a) Kursus ESQ akan mewujudkan golongan yang mengakui kewujudan nabi baru berdasarkan ideologi yang diterapkan;

b) Kursus ini mengajar bahawa akal adalah lebih besar daripada wahyu;

c) Kursus ini banyak menggunakan istilah-istilah agama yang ditafsirkan menggunakan tafsiran bebas tanpa disiplin;

d) Teori suara hati di dalam kursus ini boleh mengelirukan orang awam; dan

e) Kursus ini cuba mencampuradukkan perbincangan tentang hakikat kewujudan antara falsafah Islam dan Barat.

Mesyuarat telah mengambil keputusan bahawa Kursus ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian perlu disekat dan diharamkan dari beroperasi di Malaysia dan kertas kerja berkenaannya diangkat ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

vii) 02 April 2009:

Pihak JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ Leadership Centre bertempat di Dewan Syura JAKIM, Blok D7, Kompleks D, Putrajaya dan telah menyimpulkan bahawa:

a) Ary Ginanjar Agustian masih bertegas dengan pendiriannya menggunakan pendekatan sumber manusia (human resource) gaya Barat untuk mengembangkan konsep pembinaan sumber manusia yang dikatakan berasaskan Islam;

b) Beliau sukar menerima hakikat bahawa ajaran Islam perlu dirujuk kepada sumber-sumber Islam yang berautoriti seperti kitab-kitab tafsir dan Hadis;

c) Beliau lebih banyak berhujah bahawa beliau adalah benar dengan menggunakan sentimen sokongan daripada badan-badan Islam di Indonesia, golongan korporat dan tokoh-tokoh kenamaan di dalam kerajaan dan swasta;

d) Beliau tidak akan berganjak dengan modul ESQ yang sedia ada dengan pernyataan beliau bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran bagi modul di Malaysia tetapi tidak di negara lain; dan

e) Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berunsur ugutan dan amaran seperti meletakkan beberapa pilihan kepada JAKIM termasuk menarik diri dari Malaysia sekiranya ESQ diharamkan.

viii) 21-23 April 2009:

Kertas kerja berkenaan kedudukan Kursus ESQ Leadership Training di Malaysia, yang telah diteliti oleh Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA), telah dibentangkan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86. Muzakarah ini telah memutuskan bahawa fakta- fakta yang dikemukakan di dalam kertas kerja tersebut adalah sekadar suatu kemungkinan sahaja dan tidak boleh dijadikan asas penentuan hukum. Oleh yang demikian, satu jawatankuasa pemantau luar perlu dilantik oleh JAKIM untuk menilai aktiviti ESQ Leadership Training di Malaysia.

ix) 22 Jun 2009:

Pihak JAKIM telah melantik 6 orang panel pemantau luar iaitu:

a) Y . Bhg. Prof. Zakaria Stapa (UKM) Pengerusi

b) Prof. Dr. Mohd. Nasran bin Mohamad (UKM) Ahli

c) Prof. Madya Dr. Faudzinaim Hj. Badaruddin (UKM)

Ahli

d) Prof. Madya Dr. Che Zarrina binti Sa’ari (UM) Ahli

e) Prof. Madya Dr. Noor Shakirah Mat Akhir (USM)

Ahli f) Encik Nik Roskiman bin Abdul Samad (IKIM) Ahli

Pemantauan telah dimulakan pada 22 Jun 2009 dan dijangka berakhir pada 6 Jun 2010.

x) 23-25 Jun 2009:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 telah memutuskan bahawa kajian lanjut oleh panel pemantau perlu diteruskan. Muzakarah juga turut bersetuju dan membenarkan kursus-kursus ESQ diteruskan sehingga hasil kajian diperolehi.

xi) 17 Ogos 2009:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-75 telah memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Keputusan ini adalah berpandukan kepada kertas kerja yang telah disediakan oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM dan berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah JAKIM pada 10 Februari 2009.

xii) 02 Oktober 2009:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 telah diadakan. Muzakarah dimaklumkan bahawa pihak ESQ Leadership Training telah menubuhkan Panel Syariah ESQ yang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman. Walau bagaimanapun, tiada tarikh perlantikan dikemukakan. Muzakarah ini masih bersetuju dan membenarkan kursus-kursus ESQ diteruskan sehingga hasil kajian oleh Panel Pemantau ESQ diperolehi.

xiii) 14-16 Disember 2009:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 telah diadakan. Muzakarah ini masih bersetuju dan memperakukan bahawa kursus-kursus ESQ diteruskan sehingga hasil kajian oleh Panel Pemantau ESQ diperolehi.

xiv) 25 Februari 2010:

Pihak JAKIM telah menerima laporan penuh dari pengerusi panel pemantau, Y. Bhg. Prof. Zakaria Stapa. Sepanjang pemantauan dilakukan, 14 mesyuarat, perbincangan, bengkel dan lawatan kerja ke Jakarta dan Bali telah diadakan.

xv) 01 Mac 2010:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 telah mengambil maklum tentang kertas laporan yang telah disediakan oleh Panel Pemantau ESQ. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, panel ini telah menemui beberapa unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam kursus ESQ seperti pluralisme agama, pengaruh Universal Sufi Order, al-fayd, suara hati dan katarsis. Kajian ini juga mendapati terdapat kekeliruan dari aspek penggunaan istilah-istilah seperti God Spot, Zero Mind Process, fitrah dan Conscience. Walaupun begitu, muzakarah masih belum membuat sebarang keputusan mengenai ESQ kerana menganggap hasil penemuan tersebut adalah zhanni.

xvi) 14 April 2010:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah bersetuju membuat rumusan awal bahawa hasil penemuan oleh Panel Pemantau ESQ adalah zhanni yang masih boleh dijelaskan. Muzakarah juga bersetuju bahawa keputusan terhadap Kursus ESQ Leadership Training akan diputuskan di dalam muzakarah yang akan datang.

xvii) 17 Jun 2010:

Fatwa berkenaan Kursus ESQ Leadership Training di Wilayah-Wilayah Persekutuan telah diwartakan oleh pihak Pejabat Peguam Negara.






Disediakan Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...