Thursday, September 20, 2012

Half Story vs Full Story - Why they attacks used car dealer







Mereka adalah sekumpulan pembeli kereta terpakai sekitar Lembah Klang.

Ada diantaranya mahu membeli kereta buat pertama kali dalam hidup.

Namun ada kes wang pendahuluan yang dibayar kepada syarikat kereta terpakai hangus.

Sedangkan kereta tidak sampai ke tangan mereka.

Keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna yang memihak kepada pembeli pula seolah-olah diperlekehkan penjual.

Ikuti laporan yang saya sediakan.


Jangan tutup-jangan tutup!!

Senario ini kami rakamkan ketika sekumpulan pembeli mahukan penjelasan dari syarikat kereta terpakai terbabit Khamis lalu.

Namun tindakan pihak berkenaan seperti mahu menutup pintu pagar mengundang sedikit ketegangan.

Kumpulan pembeli ini datang ke Sri Pentas beberapa hari sebelum itu untuk mengadu masalah mereka.

Kisah pahit mereka bermula apabila mengunjungi sebuah syarikat kereta terpakai di Meru, Klang.

Apabila wang deposit sudah dibayar, pengadu mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila wakil penjual kereta mula berdolak dalik mengenai pinjaman bank.

Hinggakan ada yang kehilangan wang deposit antara RM10 ribu dan RM12 ribu.

PEMBELI KERETA TERPAKAI.
Tak naklah teruskan benda ni ambik masa 4 bulan. So you macam mana? Tak payahlah. You bagi balik saya punya deposit. Boleh, you datang kedai. Bila saya jumpa dan mintak deposit, dia kata tak boleh pulang duit. You boleh pilih mana-mana kereta yang nilai RM10,000. Saya rasa tertipu.

PEMBELI KERETA TERPAKAI.
Dia cakap lu mesti angkat ini kereta. Tak da kalu lu kena bayar RM19,000.Saya cakap saya tak mahu keretalah. Saya mahu angkat balik saya punya MyVi. Pun tak boleh. RM 6,000 lu kena bayar. Apasal mau bayar? Dia cakap tukar gear box. Tapi tak tukar pun.

Gagal mendapatkan kembali wang, pembeli membuat laporan polis.

Namun diminta pula membawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna.

Sebahagian besar berjaya dalam tuntutan apabila tribunal membuat keputusan agar wang deposit dipulangkan kepada pengadu.

Kereta milik pembeli yang dipegang wakil syarikat terbabit juga diarah dipulangkan kepada pemiliknya.

Namun seolah-olah memperlekeh keputusan tribunal, syarikat kereta terpakai mengabaikan keputusan terbabit.

Membuat pembeli mati akal.

PEMBELI KERETA TERAPAKAI.
Saya dah bawak kes ni ke Tribunal Penguna, dah bawak kepada Inspektor Shamsuddin di Balai Polis Kelang. Dia kata pada saya kes Tan Auto ni sahaja tebal ni. Dia tunjuk sendiri fail kes penipuan Tan Auto. Tapi sampai sekarang tak ada tindakan diambil. So apa gunanya pihak polis.

Walaupun takut akan keselamatan diri, kumpulan pembeli berkenaan nekad bersemuka dengan wakil syarikat kereta terbabit.

Dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sukarelawan Peguam Untuk Semua, Suka-Guam, syarikat terbabit dituntut memulangkan wang deposit seperti yang diarahkan tribunal pengguna.

Suasana tegang seketika apabila pengarah syarikat enggan berjumpa dengan pembeli.

Polis juga tiba untuk mengawal keadaan.

Hanya Pengerusi Suka Guam, Datuk Khairul Anuar Rahmat dipanggil untuk berunding.

Dan tidak lama selepas itu Aduan Rakyat juga dipanggil untuk bertemu pengarah syarikat terbabit yang bergelar Datin.

Kami diberitahu sebab tuntutan pengguna tidak dilayan.

PENGARAH SYARIKAT JUAL KENDERAAN TERPAKAI.
Ada yang saya tak tahu. Dia kata borang lapan. Kalau tribunal punya kes borang lapan, bermakna saya tak hadir. Saya tak diberitahu oleh tribunal.

Dalam erti kata lain tidak berpuas hati dengan keputusan tribunal selain mahu membawa keputusan tribunal ke Mahkamah Tinggi.

PENGARAH SYARIKAT JUAL KENDERAAN TERPAKAI.
Saya memang tak dapat lawyer yang boleh fight sebab lawyer fee sangat tinggi.

Namun bagi Suka Guam, sudah sampai masanya apa yang menimpa kumpulan pembeli kereta terpakai ini menjadi titik noktah supaya tidak berlaku ke atas lebih ramai pengguna lain.

DATUK KHAIRUL ANUAR RAHMAT/ PENGERUSI SUKAGUAM.
Banyak kes tribunal tidak dihormati oleh pihak yang diperintahkan bayar. Sebagai contoh ada keputusan tidak diendahkan adakah tribunal tidak mempunyai taring, adakah penguatkuasaan yang kurang cemerlang?

Antara yang perlu diberi perhatian juga mengadakan satu peruntukkan undang-undang khas bagi melindungi pengguna daripara syarikat kenderaan terpakai yang buat masa ini hanya memerlukan lesen atau permit menjual barang lusoh.

Siasatan yang lebih serius perlu dilakukan pihak berkuasa terhadap urusan jual beli serta aduan pembeli-pembeli teraniaya ini.

Dan jika didapati perniagaan yang dilakukan menyusahkan orang ramai, agensi-agensi terbabit yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen dan permit bagi premis ini meneruskan operasi mereka perlu mempertimbang semula keputusan mereka.

Sebarang aduan hantarkan ke email kami di aduanrakyat@tv3.com.my.

Aduan Rakyat, TV3 ambil berat.

Saya Puspavathy Ramaloo.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...