Friday, June 14, 2013

Menara Antena Bangunan Umno Tumbang Akibat Ribut , Seorang Maut



Ribut: Menara Antena Bangunan Umno Tumbang, Seorang Maut

VIDEO 1 dan VIDEO 2 (pengguna Facebook) 

[MK] Ribut melanda Pulau Pinang lewat petang ini dan menumbangkan menara antena pemancar telekomunikasi di atas bumbung bangunan Umno negeri di Jalan Macalister, mengakibatkan seorang maut dan lapan lagi cedera.

Struktur tersebut yang terletak di atas bumbung bangunan 21 tingkat itu, jatuh di atas jalan raya.

Balai Bomba Lebuh Pantai berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 petang dan sebuah jentera bersama tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian.

Menurut jurucakap Balai Bomba Lebuh Pantai, tujuh kenderaan termasuk sebuah lori muatan tong gas rosak dalam kejadian lewat petang ini. 

Kejadian itu menyebabkan kerosakan besar di Jalan Macalister yang terletak di tengah-tengah bandaraya George Town.

Tong-tong gas yang jatuh dari lori yang dihempap serpihan menara tersebut berselerak di atas jalan.'

Pihak berkuasa telah mengesahkan bahawa seorang - Jahir Hussain Sulaiman, berumur 46 - meninggal dunia akibat terkena serpihan yang jatuh.

Beliau adalah salah seorang pemandu lori yang ditimpa serpihan tersebut di Jalan Macalister.

Pihak berkuasa juga mengesahkan seorang lagi meninggal dunia dalam kejadian berasingan di Air Hitam, tetapi juga disebabkan oleh ribut.

Wong Tze Chow, 33, meninggal dunia selepas ditimpa sebatang pokok yang jatuh tumbang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pula berkata, pihak polis telah dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk segera mengambil langkah keselamatan.

Dalam kenyataan audio kepada media, Lim berkata setakat yang diketahui, hanya seorang yang cedera serius dan telah dihantar ke hospital.

Lim menggesa Umno negeri supaya segera membuka bangunan itu supaya tindakan segera yang boleh diambil untuk mengelakkan lebih bahagian bumbung jatuh.

Sementara itu,Bernama melaporkan angin kencang dan hujan lebat yang mengakibatkan tiang antena itu runtuh, telah mencederakan tujuh penguna jalan raya, dua daripadanya parah.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin berkata, beliau dimaklumkan bahawa antena di atas bangunan itu telah runtuh.

Terdapat banyak pejabat di dalam bangunan itu dan pejabat Umno terletak di tingkat enam dan tujuh.

"Ia adalah satu kemalangan, satu bencana alam," katanya.

Apabila diberitahu ada yang dipercayai cedera parah dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan, Shaik Hussein mendoakan mangsa terbabit cepat sembuh.

"Kami akan menilai situasi dan melihat apa yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu,Bernama melaporkan Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam kejadian itu mengakibatkan tujuh kenderaan termasuk sebuah lori pikap rosak teruk akibat dihempap pemancar telekomunikasi sepanjang kira-kira 20 meter itu dan pemandu lori berkenaan cedera parah. 

"Di daerah Timur Laut terdapat lapan tempat yang terlibat di mana ada yang pokok tumbang dan yang serius sekali di Jalan Macalister di mana antena (pemancar telekomunikasi) atas bangunan Menara Umno telah jatuh dan mengakibatkan seorang (pemandu lori pikap) cedera parah.

"Bagi daerah Seberang Perai Tengah ada dua tempat yang terlibat dan daerah Seberang Perai Utara ada 10 kawasan terlibat manakala di daerah Barat Daya melibatkan satu kawasan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam ini.

Abdul Rahim berkata kejadian itu juga mengakibatkan paip bawah tanah di jalan berkenaan pecah.

Beliau berkata agensi kerajaan akan memberi bantuan segera bagi memulihkan keadaan dan beliau menyeru orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

"Masyarakat jangan marah kepada keadaan lalulintas yang sesak dan saya akan pastikan jalan laluan berjalan dengan lancar dalam masa yang singkat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata: "Apabila sampai, kita dapati pemancar telekomunikasi di atas bangunan ini jatuh dan menghempap beberapa kenderaan. Yang cedera parah adalah daripada lori
pikap yang membawa tong gas, yang lain-lain cuma cedera ringan.

"Buat masa ini keadaan kembali stabil cuma kita nak kosongkan kawasan ini dan nak tinjau bangunan. Setakat ini, pada zahirnya bangunan ini selamat kerana yang jatuh itu adalah alat komunikasi yang dipasang bukan struktur bangunan," katanya.

Saksi kejadian, Imam Masjid Pakistan Hafiz Mohamad Akhlaq, 32, berkata ketika kejadian beliau berada di dalam masjid sebelum mendengar bunyi kuat seperti gempa bumi.

"Nasib baik saya berada di dalam masjid kerana selalunya saya akan duduk di luar kawasan masjid sementara menunggu waktu Maghrib. Selepas mendengar bunyi kuat itu saya dapati antena telekomunikasi menghempap sebuah kereta," katanya.

Seorang lagi saksi yang turut berada di dalam masjid itu, Mohd Yasin Hamid, 59, berkata beliau bersyukur kerana pemancar telekomunikasi itu tidak menghempap masjid kerana masjid itu terletak di hadapan Bangunan Umno.

"Memang satu keajaiban kerana pemancar itu tidak jatuh menghempap masjid ebaliknya jatuh ke jalan raya," katanya.






Sumber gambar pelbagai. Terima kasih kepada empunya gambar.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...