Tuesday, June 5, 2012

Taman Mini Botani Al-Quran


Taman Botani Al Quran menanam pokok - pokok yang disebut di dalam Al Quran

Taman Mini Botani Al-Quran, di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, Klang, negeri Selangor telah mencatit sejarah  negeri pertama di Malaysia mewujudkan Taman Mini Botani Al-Quran di sekolah bagi memperkasakan bidang pendidikan berasaskan Islam.
Dengan adanya  Taman Mini Botani Al-Quran semua warga pendidik dan pelajar akan lebih memahami dan mengetahui jenis pokok dan khasiatnya sebagaimana tercatat di dalam Al-Quran.

“Buat pertama kalinya kita berada dalam satu majlis memperkenalkan satu pembaharuan iaitu Taman Mini Botani Al-Quran di mana sebelum ini tiada lagi di tempat lain sama ada sekolah agama atau sekolah biasa”, kata Dr Halimah.

Jelasnya lagi,  timbulnya  idea taman mini tersebut adalah ekoran undangan Kerajaan Qatar bersama Dr Abdul Latip di mana Qatar mahu mengembangkan Taman Botani Al-Quran di seluruh negara itu bagi memberi pendidikan berasaskan Islam.

Program Taman Mini Botani Al-Quran Pertama ini dijalankan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel) dengan peruntukan RM60,000 bagi memperkenalkan penanaman pokok yang terdapat di dalam Al-Quran.
Antara pokok yang ditanam di sekolah tersebut ialah Pisang, Lidah Buaya, Selasih, Setawar Hali, Labu Air, Timun, Jagung dan Inai.

“Selangor adalah negeri pertama yang memperkenalkan taman dengan konsep sebegini dan kita mahu meluaskannya ke daerah lain, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah SRA Kampung  Delek, Noraini ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana sekolahnya dipilih sebagai tapak perintis bagi projek tersebut.

“Saya bersama semua kakitangan sekolah berbesar hati dan bangga dengan pemilihan ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, UNISEL atas penghargaan ini,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...