"
KETIKA
budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini,
seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai
tulisan jawi.
Penulis berpeluang menemu bual Prof Dr Kang Kyoung
Seok dari Busan University of Foreign Studies, yang memberikan
pandangannya mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu.
Dr Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi, yang disifatkannya begitu indah.
“Budaya
Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut
membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” kata Dr
Kang.
Cinta Kepada Tulisan Jawi
Cinta Dr Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah Universiti di Korea Selatan.
“Pensyarah
saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi
nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya
tidak tahu. Di Korea masa itu, tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai
jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk
terus mengkaji tulisan ini,” katanya.
Pada 1982, pertemuan Dr
Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal
dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya
dengan tulisan jawi.
Melalui Abdul Ghani, Dr Kang mengenali huruf
jawi dan sistem penulisan ini. Buku tulisan jawi bertajuk ‘Sejarah
Melayu Pattani’, menjadi kegemarannya pada masa itu.
Dr Kang
membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi
dan pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat
tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
Namun
persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi
cabaran besar bagi Dr Kang dalam merealisasikan impiannya.
“Masa
itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita
sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang
mundur, miskin dan banyak masalah.
“Ibu bapa saya masa itu
menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia, tetapi saya sudah
cintakan tulisan jawi dan saya mahu pergi belajar tulisan itu di
Malaysia,” katanya.
Setelah melakukan kajian terhadap tulisan
jawi sejak sekian lama, Dr Kang mengakui amat tertarik dengan kitab
Al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat
Islam di seluruh dunia.
“Paling menarik perhatian saya bagaimana
tulisan jawi dalam kitab Al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang
amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah Al-Quran,
amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya.
Jawi, Penyambung Legasi Bangsa
Dr
Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa
bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan
penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sekarang sudah tenat,
tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar
jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah
bersara tanpa ada pengganti,” katanya.
Dr Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.
“UPSI
sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini
tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid
mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu
tulisan jawi,” katanya.
Beliau berkata pelbagai langkah perlu
diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem
ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami.
Media
memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara
lebih meluas. Dr Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi
seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat
Malaysia.
Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan
Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan
dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.
Malaysia ‘Cikgu’ Saya
Mengimbau
kenangan Dr Kang semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah
ini, Dr Kang menyedari persepsi rakyat Korea terhadap Malaysia meleset
sama sekali.
“Keluar lapangan terbang saya lihat kemajuan
Malaysia di sana sini, bangunan tinggi. Macam-macam jenis kereta saya
jumpa, kereta mewah seperti BMW dan Mercedes pun ada,” katanya.
Selain
itu, beliau turut tertarik kepada keunikan masyarakat berbilang kaum di
Malaysia yang hidup aman damai dan bekerjasama dengan baik bagi
memajukan negara.
“Masa saya datang ke Malaysia, saya amat
tertarik dengan konsep ini kerana masa itu Korea tidak banyak campuran
bangsa di sana. Bila dunia semakin berubah, sekarang ramai bangsa lain
datang ke Korea.
“Jadi Korea belajar untuk sesuaikan diri dengan
pelbagai bangsa ini, tetapi Malaysia sudah lama belajar tentang ini dan
saya belajar dengan Malaysia,” katanya.
Dr Kang turut tertarik
dengan percampuran budaya antara kaum di negara ini, mewujudkan sebuah
masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri seperti masyarakat baba
nyonya di Melaka.
Beliau berkata masyarakat berbilang kaum ini
membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kaya dengan pelbagai
kesenian dan kebudayaan yang diwarisi sejak berkurun lamanya.
“Apa
yang menarik perhatian saya bagaimana budaya Melayu boleh berada di
tengah-tengah dan menjadi pengikat semua budaya ini. Budaya Melayu ini
amat istimewa, memang ramai pengkaji asing yang sukakanya termasuk
saya,” katanya.
Dr Kang berpesan kepada generasi muda Malaysia:
“Bagus jika kita memahami budaya lain dan tidak salah meminati K-pop.
Tetapi jangan kita terlalu taksub hingga budaya dan identiti sendiri
dipinggir dan dilupakan,” katanya. -FADZLI RAMLI, Bernama
No comments:
Post a Comment