Al - Marhum Raja Ali Haji
Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah. Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu.
Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.
Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini. Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.
Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.
Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh diperhamba.
Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.
Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.
Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat kelak.
Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.
Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu tahu.’
Allah Maha Besar!
Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.
Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.
Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.
Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahid lah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.
Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri.
Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.
Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.
Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.
Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.
Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.
Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.
Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian hari.
“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu ku pinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.”
Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.
Bammm!!!
Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.
Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.
Bammm!!!
Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku.
Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.
GLOSARI:
• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja = Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.
• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan perbezaan pandangan tahu di angin turun naiknya, tahu tentang alamat tentang peristiwa yang bakal terjadi.
• Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud tercapai.
• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu usaha.
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga = Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
• Sudah ada biduk, tetapi serempu pula = Berebut kuasa.
• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.
• Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.
• Keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya = Perbuatan yang pandir.
• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah kerana melawan jangan alah kerana melarikan diri.
• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya dibongkarkan
• Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri.
• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan diturutkan
• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat tidak dapat dipisahkan
• Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak dapat dibaiki lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.
* dipetik dari brahammickel.blogspot
No comments:
Post a Comment