1. Pengurusan ekonomi amat penting bagi sesebuah negara untuk meletakkan rakyatnya dalam keadaan sejahtera, dan harmoni disamping memacu pembangunan dan kemajuan negara tersebut.
Kejayaan dan kecemerlangan dalam pengurusan ekonomi sangat bergantung kepada keupayaan pengurus dan pentadbirnya. Tentunya nilai tertinggi pada graf keupayaan pengurus dan pentadbir itu ialah akhlaknya selain kemahiran, kreativiti, inovasi dan pengalaman.
2. Seringkali masaalah ekonomi yang dihadapi oleh negara kita bukanlah berpunca dari penurunan kadar bahan mentah atau sumber pendapatan, justeru umum menyedari bahawa negara kita antara negara yang makmur dengan limpahan rezeki kurniaan Allah swt dalam pelbagai kategori seperti pertanian, perlombongan dan sebagainya. Masaalah yang dihadapi dalam pengurusan ekonomi negara ialah ketirisan, salah guna dana negara, pembaziran, rasuah dan penipuan. Inilah masaalah akhlak yang saya maksudkan.
3. Sebagai penyelamat ummah dan tamaddunnya, Nabi kita Muhammad saw telah diutuskan oleh Allah swt dengan membawa nilai akhlak yang tinggi dan sempurna selepas aqidah tauhid. Akhlak ini menjadi prinsip untuk melahirkan insan yang soleh, berintegriti dan seterusnya untuk membentuk sebuah masyarakat baik dan kerajaan yang adil serta telus [ Good Governance ]
Sabda Rasulullah saw: انّما بُعثت لأُتمم مكارم الأخلاق
Sesungguhnya Aku dibangkitkanadalah untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlak.
4. Ekonomi tidak akan stabil malah berpotensi untuk berlaku inflasi jika ianya diurus dan ditadbir oleh mereka yang tidak berakhlak sedang negara mempunyai sumber ekonomi dan asas pendapatan yang baik. Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa negara juga boleh jatuh bankrap dan tergadai angkara pengurus dan pentadbir ekonomi yang tidak berakhlak.
5. Implikasi dari ketiadaan akhlak ini biasanya akan melahirkan sifat rakus, tamak, haloba, alpa, sombong, bongkak dan angkuh pada pengurus dan pentadbir ekonomi negara sedang didepan mereka timbunan dana harta yang menjadi amanah rakyat untuk mereka urus tadbir. Firman Allah merakamkan kisah sang penguasa yang angkuh :
إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ
Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ
Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
Sural Al Qasas : Ayat 76 - 78
6. Contoh mudah kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dapat dilihat melalui Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan baru - baru ini.
a] Antaranya projek kerajaan yang diberi melalui runding terus dan tentunya ia dilihat sebagai anugerah kepada kroni ialah projek pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding.
b] Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Menghairankan apabila pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.
c] MARA (Majlis Amanah Rakyat) pula ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga MARA.
d] Syarikat-syarikat GLC yang ditegur pengurusannya berulang tahun juga terus dilanda kerugian dengan suatu kerugian yang sangat besar.
i - Syarikat Perumahan Negara Bhd rugi RM21.4 juta,
ii - Indah Water Konsortium Bhd rugi RM33.4 juta,
iii - Aset Global Network Sdn Bhd rugi RM41.1 juta,
iv - Keretapi Tanah Melayu Berhad rugi RM92.6 juta,
v - Prasarana Bhd rugi RM367.1 juta.
7. Kesan yang lebih besar dapat dilihat dengan jelas sebagai manifestasi dari tandus akhlak apabila hutang negara meningkat sebanyak 12.3% kepada angka RM407.11 billion pada tahun 2010 berbanding RM362.39 billion pada tahun 2009, keadaan ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% iaitu pada kadar 53.1%.
8. Terbaru negara kita digegar riuh oleh isu kepincangan dan kegagalan projek lembu Feedlot di Gemas Negeri Sembilan, satu projek bernilai RM 73.64 juta. Sehingga sekarang pihak yang btanggungjawab masih gagal untuk memberi penjelasan.
9. Ketua Audit Negara telah berkali - kali menegur kerajaan samaada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, demikian juga dengan kementerian - kementerian agar bijak berbelanja, elakkan ketirisan, rasuah dan pembaziran, malangnya mereka tidak pernah memahami bahasa Ketua Audit Negara. Justeru itu saya menyeru rakyat agar mendidik dan menegur kerajaan yang gagal mengurus ekonomi berasaskan akhlak terpuji dengan menggunakan "bahasa undi" dalam pilihanraya umum akan datang. Tiada membawa berkah dan rahmah apabila ekonomi tidak diurus dengan akhlak yang soleh dan hati yang taqwa kepada Allah swt.
10. Rakyat jangan anggap remeh perkara ini. Pemimpin yang gagal memiliki akhlak yang soleh dan moral yang beretika tidak layak diserahkan amanah mengurus hasil dan harta negara kerana kelak rosak binasa sementara rakyat terus menderita terperangkap dalam pelbagai situasi seperti kenaikan harga barang, peningkatan kadar cukai, pemotongan subsidi dan 1001 situasi yang menyenak perut sang marhaen.
No comments:
Post a Comment