KUALA LUMPUR 12 Jun - Hanya enam buah negeri telah mewartakan pindaan terhadap Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) mengenai Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan atau Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) setakat ini.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, negeri-negeri tersebut adalah Perak, Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Perlis.
Beliau difahamkan, negeri lain akan turut mengambil langkah sama dengan mengambil kira beberapa pindaan UKBS sebelum mewartakannya.
Katanya, kelewatan beberapa kerajaan negeri dalam menyesuaikan dan mewartakan pindaan UKBS mengenai SPAH sedikit sebanyak memberi kesan seperti berlakunya pembaziran air terawat yang sesuai diminum, membasuh kenderaan, mencuci lantai dan mencurah tandas.
"Sedangkan, untuk kegunaan-kegunaan tersebut boleh digunakan ajr hujan dan takungan SPAH. Perkara ini kerana SPAH merupakan salah satu amalan pengurusan terbaik dalam pengurusan air berkesan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (BN-Sabak Bernam) berhubung negeri-negeri yang tidak mewartakan pemasangan SPAH bagi kawasan pembangunan baharu sepertimana dipersetujui dalam Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 20 Mac 2012.
Dalam pada itu, Halimah berkata, tanpa pemindaan UKBS mengenai SPAH, kerajaan-kerajaan negeri tidak dapat mendukung pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau di negara ini terutama dalam penggunaan air terawat.
Jelasnya, pelaksanaan SPAH boleh membantu memelihara sumber air dan penjimatan tenaga elektrik di loji-loji rawatan air serta penggunaan air hujan boleh mengurangkan bayaran bil-bil air sama ada kegunaan domestik, komersial mahupun industri.
"Penggunaan air hujan juga akan mengurangkan penggunaan air terawat, mengatasi masalah bekalan air dan seterusnya dapat memulihara sumber air dan mengurangkan kesan perubahan iklim," jelasnya.