Sungguhpun Konvensyen & Konvokesyen Seni Beladiri MAGMA 2011 sudah berlalu, tetapi sudah mula timbul kembali beberapa pertanyaan dan persoalan daripada dunia silat dan beladiri mengenai sistem akreditasi yang digunakan MAGMA untuk meluluskan calon pengajian mereka.
Walaupun saya belum terlibat secara rasmi lagi dengan ASBM, tetapi pendedahan saya sepanjang perbincangan bersama MAGMA memberikan penjelasan yang jitu kepada saya. Maka, kenyataan ini bukanlah kenyataan rasmi, tetapi adalah pernyatan pendapat peribadi daripada apa yang saya faham mengenai keadaan ini. Mohon disedari pernyataan ini mungkin silap dan ditarik secara rasmi pada bila-bila masa sahaja.
Di bawah, saya menurunkan beberapa pertanyaan yang ditujukan kepada saya untuk dijawab. Kebanyakannya adalah melalui inbox Facebook dan emel, tetapi ada juga yang melalui Comment Wall Facebook saya.
1. Apakah ASBM akan menjadi badan akreditasi semua perguruan di Malaysia? Maksudnya, ASBM ada hak untuk menentukan jika seseorang itu jurulatih atau guru atau mahaguru?
Bukan begitu. Jika diselidik kepada syarat mengambil kursus pengajian, antara yang paling penting adalah pengiktirafan daripada perguruan calon itu sendiri dalam bentuk bertulis. Jika perguruan itu sendiri yang mengakreditasi seseorang individu itu sebagai jurulatih yang pakar dalam kaedah beladiri mereka, maka MAGMA tiada masalah untuk mengakuinya juga.
Perjuangan MAGMA adalah bagi menerjemah buat masyarakat sekeliling mengenai tahap-tahap yang ada dalam perguruan, dan berikan mereka satu tara yang boleh dijadi pengukur untuk memahami sistem tua itu. Jika bertemu dengan seorang Dr Falsafah lulusan Universiti Malaya, mereka tahu segan, kerana sedar, Dr itu atas daripada Sarjana dan Sarjana Muda. Tetapi, apabila bertemu jurulatih silat, apa tahapnya? Apa status yang sepadan?
Maka, ASBM memasangkannya sebegini: Diploma – Berkecimpung dalam seni beladiri selama setahun, Sarjana Muda – 5 tahun, Sarjana – 10 tahun, Kedoktoran – Pengasas, Guru tertinggi, Guru utama atau guru kanan. Jika mereka diiktiraf beramanah sebegitu dalam perguruan mereka, maka melayakkan mereka mengambil kursus pengajian di atas.
Hakikatnya, orang seni beladiri sudah teriktiraf di kalangan mereka, dan tidak memerlukan pengiktirafan lagi. Tetapi, dengan adanya kursus pengajian sebegini, mereka kini mampu menjadi makhluk dua alam, sebagai pengamal yang membumi dan ahli akademik yang melangit.
2. Adakah semua jenis seni beladiri akan diajar di ASBM?
ASBM bukanlah Akademi seperti pusat pengajian seni beladiri dan silat muncul dalam 10 tahun ke belakangan ini. Contoh yang sempat teringat: Akademi Pusaka,
Akademi Silat Cekak Hanafi, Akademi Buah Pukul Gayang Lima, Pusat Kecemerlangan Silat, pelbagai kelab taekwondo dan lain-lain lagi. Setiap daripada pusat pengajian ini tetap mengajar hanya satu atau dua aliran beladiri. Ada juga yang berkonsep gim, maka dikumpulkan beberapa perguruan untuk diadakan kelas di situ. Mereka menawarkan program sijil dalam seni beladiri mereka. Hakikatnya, tidak banyak beza dengan mengajar tanpa akademi, hanya kini ada kulit yang cantik.
ASBM tidak mengajar seni beladiri, tetapi mengiktiraf perjalanan calon dalam seni beladiri pilihan mereka. Maka, sebagai buktinya, mereka perlu menghadiri kursus-kursus persediaan seperti Pengenalan Kepada Silat Melayu (SME 101), Pengenalan Kepada Seni Beladiri Korea (KOR 101), Pengenalan Kepada Seni Beladiri Cina (SIN 101), Pengenalan Kepada Seni Beladiri India (IDA 101), Penulisan Kertas Kajian Akademik (WRT 100), Fisiologi, Anatomi & Pertolongan Cemas (BIO 251), Etika Kejurulatihan (INS 234), Senaman Tradisional Melayu (SNM 264) Cina (SNS 264) India (SNI 264) dan banyak lagi bergantung kepada kelayakan yang sedia ada dan diperlukan.
Kerana ASBM adalah fakulti kepada sebuah universiti terbuka yang menyasarkan kepada calon dewasa (dan kemungkinan besar bekerja mencari rezeki), maka kesemua kursus di atas diadakan sepanjang hari pada hujung minggu terpilih.
Setelah lulus kursus yang wajib, maka calon dikehendaki menulis kertas kajian atau tesis mengenai tajuk pilihan mereka berpandukan penyelia yang menyelia kerja kursus mereka. Pada tahun ini, penyelia kesemua calon kedoktoran adalah Prof Madya Dr. Zainal Latiff dari Universiti Malaya untuk memastika kajian mereka menurut lunas-lunas akademik.
Selesai menyerahkan tesis, calon-calon perlu mempersembahkan penulisan mereka kepada panel penilai ASBM yang terdiri daripada pengasas MAGMA, ahli akademik jemputan dan tokoh-tokoh seni beladiri berkaliber. Panel akan bertanya soalan berkaitan kajian mereka untuk memastikan mereka benar-benar faham dan mengamalkan apa yang ditulis dan jika perlu, demonstrasi kemahiran dan keilmuan mereka.
3. Dapat gelaran Dr ini, adakah hendak menjadi macam kes Dr Fazley, yang akhirnya malu kerana terbukti beliau tidak layak menggalasnya?
Gelaran yang diberi kepada mahaguru, guru utama dan guru kanan bukanlah PhD seperti yang Dr Fazley didakwa menerima, tetapi adalah DMA, iaitu Doctor of Martial Arts. DMA ini adalah gelaran baru yang diterapkan oleh MAGMA untuk menghargai pengorbanan dan usaha guru-guru kita dalam menyebarkan seni beladiri. Konsep DMA adalah setaraf dengan DFA (Doctor of Fine Arts): http://en.wikipedia.org/wiki/Doctor_of_Fine_Arts
Saya petik dari Wikipedia: Doctor of Fine Arts (D.F.A.) is an honorary degree in fine arts conferred to honor the recipient who has made a contribution to society. It is also an earned doctorate in certain universities where it is awarded to a graduate student as an academic degree of the highest level in the field ... Earned doctorate degrees in fine arts are degrees awarded in recognition of academic research — that is, candidates have produced academic work of a publishable standard. Similarly, those who are considered modern “masters” and are therefore “doctors” in visual arts are those whose artworks represent a modest contribution in the arts. Their pieces may be exhibited in art galleries and are possibly represented in public museums. Recognition with a D.F.A. degree in film, music, drama, literature, poetry, dance, theatre and plastic art by a university usually means the artist has made a contribution to the field and to human knowledge.
Terdapat pelbagai jenis ijazah kedoktoran yang wujud di muka bumi ini: http://en.wikipedia.org/wiki/Doctorates dan setiap negara juga ada kaedah berlainan menganugerahkannya.
DMA adalah ciptaan MAGMA. PhD UMP (Universiti Malaysia Pahang) jika dikeluarkan dalam bidang perniagaan sudah tentu kalah dengan PhD Oxford, tetapi DMA yang dikeluarkan MAGMA belum ada bandingannya lagi. Maka, perancangan 10 tahun akan datang adalah untuk meningkatkan prestij DMA ini sebelum universiti lain membina program yang sama.
Calon PhD diminta menghasilkan susunan ilmu baru dan inovatif, tetapi DMA tidak diwajibkan begitu. Namun, nampak guru-guru kita bersungguh-sungguh dengan apa yang mereka perbaharui: Mahaguru Dahlan dengan Silat Setiabakti yang merupakan gabungan 10+ seni beladiri zahir dan batin yang dipelajari, Mahaguru Haji Hasyim dengan Tapak 100 Lian Padukan, Mahaguru Datuk Baharom dengan petua tempurnya dan lain-lain lagi.
4. ASBM sekadar hendak buat duit?
Soalan sebegini tidak perlu dijawab oleh guru-guru MAGMA. Tetapi, jika ditanya kepada 64 calon 2011, apakah mereka terbeban secara kewangan dalam mengambil kursus pengajian dengan ASBM, akan ada yang mengatakan ia mahal, tetapi pada hari konvokesyen tempoh hari, kesemuanya memapar muka puas atas pencapaian mereka. ASBM adalah milik MAGMA dan MAGMA adalah milik ahli MAGMA, dan hanya ahli MAGMA yang dibenarkan mengambil program pengajian itu. Pinjam da ubah kata Datuk Baharom, ahli MAGMA adalah orang kita, dan orang kita, kita jaga, dan orang yang kita jaga, takkan tumbang.
Segala kos perbelanjaan Konvensyen & Konvokesyen tempoh hari tidak sesen pun datang daripada tajaan atau wang politik, tetapi adalah daripada kewangan dan keahlian MAGMA sendiri. Yang menjadi ahli adalah yang menjadi AJK adalah yang menjadi penerima ijazah, maka jika kami hendak buat duit, saksikanlah, duit itu sudah tiada, tetapi semunya puas hati.